16 December 2011

Abrahah idam hancurkan Kaabah

PADA Isnin, tanggal 12 Rabiulawal bersamaan 20 April tahun 571 Masihi lahirlah junjungan Muhammad SAW di rumah bapa saudaranya Abi Thalib pada tahun sejarah dikenali Tahun Gajah.

Muhammad adalah putera tunggal Abdullah bin Abdul Muthalib bin Hasyim bin Abdul Manaf bin Qusyai bin Hakim bin Murrah bin Ka'ab bin Lu'ai bin Ghalib bin Fihr bin Malik bin Annadhar bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrikah bin Ilyas bin Mudhar bin Nizar bin Ma'ad bin Adnan, keturunan Nabi Ismail bin Ibrahim.

Ayah Rasulullah wafat sejak Baginda dalam kandungan ibu yang kemudian meninggal dunia ketika Baginda berusia empat tahun.

Tahun Gajah adalah tahun sepasukan tentera bergajah pimpinan Abrahah, penguasa Habsyah (kini Ethopia) menyerbu kota Makkah meroboh dan menghancurkan Kaabah.

Abrahah adalah seorang penganut agama Nasrani yang kuat berpegang kepada agamanya.

Dia menghantar tenteranya ke Yaman untuk menghancurkan kerajaan Dzu Nuwas yang beragama Yahudi.

Perkhabaran itu didengar orang Nasrani di sana yang dipaksa meninggalkan agama mereka dan memeluk agama Yahudi dengan keras serta kejam. Perkara itu memuncakkan kemarahan Abrahah.

Abrahah menghancurkan pertahanan Dzu Nuwas dan menguasai seluruh Yaman dengan mudah. Kemudian dia segera membina sebuah gereja besar di ibu kota Yaman, San'a. Tujuannya mengalihkan perhatian orang dari Kaabah.

Namun, yang terjadi adalah sebaliknya. Gereja yang megah dan mewah itu tidak mendapat kunjungan seperti diharapkan.

Mereka tetap berkiblat ke Makkah. Hancurlah cita-cita dan angan-angan Abrahah untuk menjadikan gerejanya sebagai pesaing dan pengganti Kaabah.

Malah, berlaku sesuatu mengejutkan kepada dirinya.

Gerejanya dicemari seorang biadab yang membuang kotoran najisnya di lantai pada suatu malam tidak diketahui.

No comments: