17 December 2011

Adab sopan ketika berdoa

Sebagai umat Islam kita yakin dengan hidayat dan nikmat Allah, kita sering
berdoa memohon sesuatu daripada-Nya. Justeru, kita menadahkan tangan,
terutama ketika kita menghadapi pelbagai kesulitan hidup.

Allah berfirman bermaksud:

"Berdoalah, nescaya aku perkenankan untukmu".

Dalam sebuah kitab Hikam ada dijelaskan mengenai konsep doa. Menurut
kitab itu, apabila Allah melepaskan lidahmu untuk memohon, ketahuilah bahawa
Allah ingin memberikan pertolongan mengikut apa yang dipohon. Oleh yang
demikian, berdasarkan doa itu sendiri yang berfungsi sebagai jiwa ibadat, maka
proses doa itu adalah permohonan yang diatur dalam bentuk ayat yang
menyatakan suara hati seseorang hamba.

Ketenangan jiwa akan diperolehi apabila segala kesulitan yang membabitkan
diri manusia dilepaskan kepada Allah. Permohonan itu disusun dengan penuh
perasaan. Selepas itu jiwa kembali jernih, murni selepas dibulatkan segala
permasalahan - dalam bentuk jalinan kalimat, ditujukan pula kepada Allah.

Bertepatan dengan konsep doa itu sendiri sebagai perantara yang membabitkan
suatu ruang waktu yang tiada had dan batasnya, maka Allah sendiri menyuruh
setiap hambanya berdoa tanpa mengira keadaan dan masa.

Sebenarnya bentuk doa akan diperkenankan mengikut ketentuan Tuhan, asal
saja doa atau permohonan itu menuju ke arah kebaikan untuk diri, keluarga,
masyarakat dan umat sejagat.

Isi doa juga sewajarnya mengandungi unsur-unsur kesejahteraan umat,
memohon untuk kebahagiaan di dunia dan akhirat, murah rezeki, sihat tubuh
badan, tambahkan ilmu pengetahuan dan keimanan.

Islam melarang keras berdoa kepada Allah dengan motif yang tidak baik dan
bertujuan jahat, umpamanya seseorang memohon kepada Allah:

"Ya Allah, cabutlah nyawaku, aku tidak sanggup lagi
menghadapi kesusahan di dunia ini."

Rasulullah tidak pernah memohon doa bertujuan untuk merosakkan umat
manusia, biar pun baginda seringkali menderita kerana perbuatan orang lain
terhadapnya.

Ruang hidup dan situasi untuk kita bertindak begitu luas. Misalnya, seseorang itu
gagal dan kecewa dalam sesuatu bidang yang disertainya, sesekali perlulah
beralih ke bidang lain yang berlainan, insya-Allah dengan semangat dan motivasi
yang baru, Allah akan menitipkan rahmat dan nikmat-Nya. Seiring itu juga, kita
perlu memperbanyakkan ibadat kepada Allah, kuatkan semangat serta berdoa
setiap masa.

Ketidaksesuaian sewaktu berdoa turut mempengaruhi kesempurnaan berdoa.
Di masjid atau surau dapat dilihat jemaah dalam pelbagai aksi sewaktu imam
melafazkan doa, ada yang memegang sapu tangan, buku dan majalah. Tak
kurang juga yang suka mencuit-cuit sesama sendiri.

Keadaan sebegitu tentunya tidak manis dan tidak sesuai pula dalam suatu
keadaan yang begitu mengharapkan pertolongan Allah. Kita sewajibnya berada
dalam keadaan penuh khusyuk, rasa rendah diri mengharapkan pertolongan
Allah saja.

Beberapa adab sopan seperti yang dianjurkan oleh agama perlulah sama-sama
diikuti sewaktu memohon pertolongan dari Allah. Imam Al-Ghazali
menyenaraikan perkara itu dalam Kitab Ihya Ulumu Din Jilid 1, halaman
306-309. Antaranya ialah:

1. Pada Hari Arafah, bulan Ramadan, hari Jumaat dan waktu sahur.
2. Dalam keadaan yang khusyuk seperti waktu sujud
3. Menghadap kiblat dan mengangkat tangan sampai ke garis ketiak, bukan
atas lutut.
4. Merendahkan suara, hanya sekadar dapat didengar oleh orang yang ada di
sisi kita.
5. Tidak perlu menggunakan kata-kata bersajak, cukuplah dengan kata-kata
yang sederhana serta merendahkan diri, tidak perlu berirama, namun
diutamakan doa yang berasal daripada Rasulullah s.a.w. dan sahabat.
6. Mempercayai dan berkeyakinan dengan doa itu. Tidak kecewa dan gelisah
jika doa belum lagi diperkenankan.
7. Memulakan doa dengan memuji Allah, jangan terus memohon apa yang
dihajati.
8. Taubat sebelum berdoa.

No comments: