Monday, August 7, 2017

Bertuhan tanpa rasa bertuhan


بسم الله الرحمن الرحيم


Dia sedang membiasakan diri solat berjemaah di masjid. Adakalanya di saf hadapan, selalunya di saf kedua atau ketiga. Kebiasaannya dia akan menunaikan solat sunat sejurus solat fardhu.
******

Dia membaca al-Quran setiap hari. Dia menetapkan untuk membaca sekurang-kurangnya 5 muka setiap hari. Kadangkalanya terkurang dari 5 muka, dan jarang tidak membaca langsung al-Quran dalam sehari. Biasanya akan ambil satu atau dua ayat untuk ditadabbur.
******

Allah memberi kesempatan kepadanya untuk bangun awal pagi itu, maka dia pun segera berwudhu'. Sunat tahajjud dilakukan, diikuti sunat taubat dan witir.

"Alhamdulillah, bukan setiap hari dapat peluang sebegini."
******

Kemanisan taat pada awalnya, perlahan-lahan berubah menjadi kebiasaan.

Ibadah, rasanya tawar. Tak pasti sebabnya.

Mengapa ibadah yang dilazimi ini, tidak lagi membahagiakan, tapi, menjadi rutin yang membosankan...?
يا ايها الانسان ما غرك بربك الكريم

Wahai manusia! Apakah yang memperdayakanmu - (berlaku derhaka) kepada Tuhanmu yang Maha Pemurah?

Ayat ini menghairankan, Allah menggunakan kata panggilan 'wahai manusia' berbanding 'wahai orang beriman', bermakna ayat ini ditujukan kepada semua manusia, bukankah yang mempercayai Tuhan itu hanya para mukmin? Ataupun sebenarnya memang manusia itu percaya pada Tuhan?

Hmmm, dia berfikir sejenak.

Benar, manusia fitrahnya akan percaya pada suatu kuasa luar biasa yang mampu menentukan hidup dan matinya. Sejarah panjang ribuan tahun kemanusiaan membuktikannya. Manusia akan sentiasa mencari Tuhan, sebahagian dalam bentuk yang pelbagai - batu, pokok, matahari, dan sebahagian mendua-tiga-jamakkan Allah, ini kerana tidak dipandu dengan wahyu. Semua manusia, melainkan sedikit ateis secara relatif, akur pada Tuhan, bahkan ada yang bertengkar kerana berebutkan Tuhan. 

"Allah itu bukan Tuhan kamu sahaja, tetapi Tuhan kami juga!"

***********

Mengaku ber-Tuhan itu mudah..

Tetapi, merasa ber-Tuhan itu, payah...

Mungkin kerana itulah ibadah kita terasa kosong. Ritual yang dilaksana tanpa perasaan. 

Sebenarnya bukanlah Allah itu tidak ada, Allah sentiasa ada.

tetapi Allah telah hilang dari dalam hati kita.

Besarlah kerugian bagi kita, saat kehilangan Tuhan dari jiwa yang dipinjamkan Tuhan.

Mengapa terjadi sebegini?

Barangkali hati yang kotor tidak memungkinkan cahaya Allah memasukinya..perlu dibersihkan, disental dari maksiat dan jahiliah yang enggan ditinggalkan... dipandang enteng dosa-dosa, bahananya mampu menghijabkan hati dari nur. Hilang rasa ber-Tuhan itu bermakna hilangnya rasa takut. Hilang rasa takut, maka tiada lagi menjadi dinding antara diri dengan kejahatan dan kezaliman. Hilangnya khauf pada firaun sehingga mengaku Tuhan, apa pula kesannya pada kita?

Mungkin ini adalah teguran Allah bahawa kita sebenarnya belum benar-benar beriman... agar kita berterusan membaiki amal-amal. Bermula dengan memperbaiki hal-hal asas- solat, pada niatnya, berbuat kerana apa? Apa niat 'sahaja aku solat kerana Allah taala' selari dengan niat di hati?
Pada perkataannya, fahami dan hayati ayat-ayat yang dibaca. Pada wudhunya, mungkin tidak cermat, terbazir. Renungilah makna firman,
"Berjayalah orang-orang mukmin itu,
iaitu mereka yang khusyuk dalam solat mereka." (al-Mukminun:1-2) 

Berjayanya seorang mukmin itu, pertamanya disebutkan mereka yang khusyuk dalam solatnya. Barulah disebut yang lain-lain. 

Curilah masa berbicara dengan Allah. Terbiasa bicara dengan manusia tentang Tuhan, kali ini kita mencurahkan pula terus pada Tuhan. Terus kepada Allah.

Luahkan rasa yang kian lama terpendam di hati, bahawasanya sudah terlalu lama tidak mampu merasai kehadiranNya, kepadaNya yang Maha Mendengar dan Maha Mengetahui segala isi hati. 

Semoga Allah mengembalikan rasa manisnya ber-Tuhan selari dengan fitrahnya kita sebagai hamba...

No comments:

YouTube

Loading...